Post has attachment
KEWAJIPAN JAGA ANAK MENGIKUT SYARIAT
TIDAK dapat dinafikan ramai orang beranggapan bahawa anak yang dilahirkan ke dunia hasil hubungan perkahwinan yang sah adalah hak mutlak mereka yang boleh dibuat sesuka hati. Anak bukannya barang yang boleh dipindah-pindahkan daripada satu orang ke satu orang. Anak adalah manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan. Anak adalah amanah Allah SWT kepada manusia yang digelar ibu bapa.
 
Dalam keadaan biasa di mana sepasang suami isteri hidup aman damai, anak biasanya juga mendapat manfaat daripada hubungan tersebut. Jika ibu bapa anak itu hidup dalam berkasih sayang maka anak akan merasa kebahagiaan itu. Anak lebih aman dan tenteram dan dia juga akan menjadi seorang yang periang, ceria dan bahagia.
 
Namun jika setiap hari anak mendengar ibu bapanya berperang, memaki hamun, tentulah ini akan menjejaskan emosi dan pemikiran anak tersebut. Anak yang dibesarkan dalam keadaan keluarga yang huru-hara, apatah lagi dipenuhi dengan pergaduhan dan persengketaan akan membesar dengan perasaan benci pada diri sendiri atau kepada ibu bapa ataupun memilih salah seorang daripada mereka. Sedangkan dalam Islam, kedua ibu bapa mempunyai hak untuk ditaati oleh anak-anak mereka.
 
Jika anak ada hak terhadap ibu bapa, begitu juga sebaliknya. Dalam hal pemeliharaan anak, ibu bapa sering beranggapan itu adalah hak mutlak mereka. Sebenarnya, memelihara anak adalah tanggungjawab ibu bapa dan anak berhak dipelihara dengan baik sehingga dewasa. Pemeliharaan atau disebut sebagai hadanah atau bermakna himpun di samping atau di sisi. Dalam syarak ia bermakna hak mendidik dan menjaga anak.
 
Saya menggunakan istilah pemeliharaan untuk membezakannya dengan penjagaan. Bagi saya PENJAGA adalah yang mempunyai kuasa pengawasan yang lebih besar terhadap anak dan penjaga mutlak bagi anak ia BAPA anak. Dalam bahasa Inggerisnya ia sering dirujuk sebagai GUARDIAN, sedangkan hadanah atau pemeliharaan melibatkan pengurusan makan minum, pakaian, tempat tinggal dan kesihatan anak.
 
Penjaga bertanggungjawab dalam hal pendidikan, perwalian dalam hal perkahwinan, memberi nafkah dan semua urusan harta anak. Dalam isu hadanah, ia bukan hak yang memelihara tetapi hak anak yang dipelihara. Anak berhak dipelihara oleh kedua-dua ibu dan bapa dan sekiranya ibu dan bapa telah bercerai, anak tetap berhak mendapat peliharaan daripada kedua-duanya mengikut kesesuaian yang ditentukan oleh mahkamah.
 
Oleh yang demikian, mahkamah syariah mempunyai kuasa menentukan siapa yang berkewajipan memelihara anak jika pasangan bercerai dan memastikan anak mendapat hak pemeliharaan daripada kedua-duanya. Dalam hal ini, Islam memberi keutamaan kepada ibu atau kaum wanita untuk mendapat tanggungjawab memelihara anak kerana dari segi fitrahnya seorang ibu lebih peka dan sabar dalam menjalankan tugasnya sebagai ibu.
 
Jika pasangan masih hidup sebagai suami isteri, hal pemeliharaan anak tidak timbul. Tentunya semasa dalam perkahwinan, tanggungjawab ini digalas bersama. Pasangan hari ini mendapat pendedahan yang banyak dan mencukupi, semenjak mengandung mereka telah diberikan taklimat dan ceramah mengenai pemeliharaan anak. Di hospital-hospital semasa duduk menunggu giliran berjumpa doktor semasa mengandung, mereka ditayangkan video mengenai cara memandi bayi, menjaga bayi semasa kecil dari sudut kesihatan. Malah telah ada di pasaran pelbagai jenis buku mengenai pendidikan anak secara lengkap dari kecil hingga dewasa.
 
Pada pandangan saya segala kemudahan ini membuka ruang yang besar kepada pasangan suami isteri untuk berkongsi dalam memelihara bayi mereka. Sikap tolong-menolong ini akan mengerat hubungan antara suami isteri serta anak. Jika ibu bapa kita dahulu sangat mengasingkan tugas memelihara kepada ibu sahaja, hari ini cara itu telah berubah. Ia juga memberi peluang bapa/suami mengetahui kesukaran memelihara anak, terutama semasa kecil.
 
Malahan amalan hospital bersalin membenarkan suami hadir semasa isteri melahirkan anak juga memberi kesan positif kepada hubungan suami isteri dan tanggungjawab suami terhadap isteri dan anak-anaknya. Ia juga menimbulkan rasa ihsan suami terhadap isteri dan juga ibunya sendiri bahawa proses melahirkan anak adalah suatu proses yang amat mencabar bagi seorang wanita yang sangat-sangat memerlukan sokongan suami. Jika ini diketahui, suami/lelaki tidak akan derhaka kepada ibunya dan tidak akan mendera isteri serta anak-anak.
 
Lelaki yang waras dan beragama akan menghargai seorang wanita yang dipanggil isteri dan ibu. Hari ini perkongsian suami isteri dalam memelihara anak semasa masih bayi menjadikan hubungan anak-ayah lebih kukuh dan ini boleh mengurangkan isu anak bermasalah. Jika dulu anak hanya manja dan lebih mudah berbual dengan ibu, hari ini anak manja dan selesa dengan kedua ibu dan bapa.

Post has attachment
WASIAT RASULULLAH KEPADA UMATNYA
Muhammad saw ada menyampaikan pesanan dan wasiat kepada isteri, anak, kaum kerabat dan umat Islam seluruhnya.Antara wasiat yang menarik dan boleh dijadikan bahan renungan bersama adalah wasiatnya kepada menantu Baginda, Saidina Ali bin AbuTalib.
Sungguhpun wasiat itu khusus kepada Ali, namun kita sebagai Muslim, perlu menjadikannya sebagai iktibar dan menjadikannya amalan.
"Wahai Ali, bagi orang mukmin ada tiga tanda iaitu:
1. Tidak terpaut hatinya pada harta benda dunia;
2. Tidak terpesona dengan pujuk rayu;
3. Benci terhadap perbualan dan perkataan sia-sia.
"Wahai Ali, bagi orang alim itu ada tiga tanda iaitu:
1. Jujur dalam berkata-kata;
2. Menjauhi segala yang haram;
3. Merendah diri.
"Wahai Ali, bagi orang yang jujur ada tiga tanda iaitu:
1. Merahsiakan ibadahnya;
2. Merahsiakan sedekahnya;
3. Merahsiakan ujian yang menimpanya;
Wahai Ali, bagi orang yang takwa itu ada tiga tanda iaitu:
1. Takut berlaku dusta dan keji.
2. Menjauhi kejahatan.
3. Memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman.
Wahai Ali, bagi ahli ibadah itu ada tiga tanda iaitu:
1. Mengawasi dirinya.
2. Menghisab dirinya.
3. Memperbanyakkan ibadah kepada Allah.


Ibnu Abbas pula meriwayatkan, bahawa Ali berkata: "Pada hari perkahwinan dengan Fatimah, Rasulullah bersabda kepadaku, mengutarakan 13 wasiat khusus untukku iaitu:
1."Wahai Ali, takutilah engkau daripada memasuki" tempat mandi (hammam) tanpa memakai kain separas pinggang. Bahawasanya barang siapa memasuki tempat mandi tanpa kain separas pinggang, maka dia mendapat laknat (mal'un).
2."Wahai Ali, janganlah engkau 'memakai cincin pada jari telunjuk dan tengah'.
Sesungguhnya itu adalah apa yang dilakukan oleh kaum Lut.
3."Wahai Ali, sesungguhnya Allah mengagNABumi hamba-Nya yang melafazkan istighfar:
"Rabighfirli fainnahu la yaghfirul-zunuba illa Anta" (Tuhanku, ampunilah aku. Sesungguhnya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Engkau).
Allah lalu berfirman: "Hai malaikat-Ku, sesungguhnya hamba-Ku ini mengetahui bahawasanya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Aku.
Hai malaikat-Ku: Jadilah saksi, bahawasanya aku telah mengampuni dia."
4."Wahai Ali, takutilah engkau daripada berdusta. Bahawasanya berdusta itu menghitamkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai kazzab (pendusta). Dan, bahawasanya benar itu memutihkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai sadiq. Ketahuilah engkau, bahawasanya sidq (benar) itu berkat dan kizb (dusta) itu celaka.
5."Wahai Ali, peliharalah diri engkau daripada mengumpat dan mengadu-domba.
Bahawasanya orang berbuat demikian itu diwajibkan ke atasnya seksaan kubur dan menjadi penghalang kepadanya di pintu syurga.
6."Wahai Ali, janganlah engkau bersumpah dengan nama Allah, sama ada dusta atau benar, kecuali dalam keadaan darurat, dan janganlah jadikan Allah permainan sumpah engkau. Sesungguhnya Allah tidak menyucikan dan tidak mengasihani orang yang bersumpah dusta dengan nama-Nya.
7."Wahai Ali, janganlah engkau mencita-citakan rezeki untuk hari esok. Bahawasanya Allah mendatangkan rezeki engkau setiap hari.
8."Wahai Ali, takutilah engkau daripada berbantah-bantah dan berkelahi dengan makihamun dan sumpah-seranah. Bahawasanya perbuatan itu pada awalnya jahil dan pada akhirnya penyesalan.

9."Wahai Ali, sentiasalah engkau bersugi dan mencungkil gigi. Bahawasanya bersugi itu menyucikan mulut, mencerahkan mata dan diredai Allah. Mencungkil gigi itu dikasihi malaikat kerana malaikat amat tidak senang dengan bau mulut kerana sisa-sisa makanan pada celah gigi tidak dicungkil selepas makan.
10."Wahai Ali, janganlah engkau melayani rasa marah. Apabila timbul rasa marah, duduklah engkau dan fikirkanlah mengenai kekuasaan serta kesabaran Allah ke atas hamba-Nya. Pertahankan diri engkau daripada dikuasai kemarahan dan kembalilah engkau kepada kesabaran.
11."Wahai Ali, perhitungkan (tahassub) kurniaan Allah yang telah engkau nafkahkan untuk diri engkau dan keluarga engkau, nescaya engkau peroleh peruntukan daripada Allah.
12."Wahai Ali, apa yang engkau benci pada diri engkau, maka engkau bencikan juga pada diri saudara engkau dan apa yang engkau kasih pada diri engkau maka engkau kasihkan juga pada diri saudara engkau, yakni engkau hendaklah berlaku adil dalam memberi hukuman. Maka dengan demikian , engkau dikasihi seluruh isi langit dan bumi.
13."Wahai Ali, perbaikkan perhubungan antara penduduk (jiran) sekampung dan antara ahli rumah engkau. Hiduplah dengan mereka sekaliannya dengan rasa persahabatan dan kekeluargaan, nescaya disuratkan darjat yang tinggi bagi engkau.
" Wahai Ali, peliharakanlah pesananku (wasiatku). Engkau akan peroleh kemenangan dan kelepasan. Insya-Allah."
BH - 21 December 2004 / 9 Zulkaedah 1425
PERUNDING PEWARISAN 0176750003 MUHAMAD
http://pewarisanmd.blogspot.com
Photo

Post has attachment
WASIAT IMAM SYAFEI
KELUARGA adalah asas yang paling kecil dalam pembentukan sesebuah masyarakat, manakala masyarakat yang baik akan membentuk bangsa dan negara yang kuat dan sejahtera. Keluarga yang kuat dari segi akidah, pendidikan dan ekonomi akan menyumbang kepada kehidupan masyarakat yang aman dan sejahtera. Oleh itu, pendidikan kekeluargaan sangat penting dalam Islam.
Islam sangat mengharapkan ibu bapa yang mempunyai keluarga, terutama keluarga yang ramai dapat dididik dan dibentuk ke arah kesejahteraandunia dan akhirat.
Konsep pembentukan keluarga bahagia mesti bermula daripada pendidikan dan bimbingan daripada ibu bapa yang bertanggungjawab dalam hal pendidikan anak-anak.
Tujuan pendidikan dalam al-Quran adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT, menjauhi syirik kepada-Nya, mensyukuri nikmat-Nya, bertakwa, bertawakal membentuk insan soleh, menegakkan amar makruf nahi mungkar, mewujudkan kemakmuran di muka bumi dan kebahagiaan hidup.
Pendidikan bermula dari rumah iaitu pendidikan anak-anak dan juga keluarga. Oleh itu, didiklah ahli keluarga dan juga anak-anak dengan pendidikan menurut al-Quran.
Ada pendapat mengatakan bahawa, keluarga adalah inti peradaban. Ini bermaksud pembentukan keluarga melalui pendidikan akan menyumbang kepada peradaban bangsa dan ummah pada masa akan datang.
Oleh itu, setiap ibu bapa berperanan penting membentuk keluarga bahagia dan kemudiannya menyumbang kepada peradaban bangsa.
Lantaran itu, pendidikan iman, akhlak dan amalan yang baik sangat penting diterapkan dalam kehidupan berkeluarga. Melalui pendidikan adab dalam Islam akan mencapai budi pekerti yang baik dalam kalangan ahli keluarga. Ibu bapa berperanan mendidik anak-anak dalam ibadah yang menjurus kepada kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.
Pendidikan anak-anak dan pembentukan keluarga yang beriman dan bertakwa adalah amanah kepada ibu bapa. (rujuk al-Anfal: 27-28)
Jelas bahawa, mendidik keluarga dan anak-anak adalah amanah yang besar. Dalam menjalani ujian ini telah dijanjikan pahala yang besar terutamanya dalam pengurusan harta dan juga pendidikan anak-anak. (rujuk al-Anfal: 75)
Dalam hubungan ini, hubungan kekeluargaan itu sangat penting. Asas pembentukan orang yang beriman adalah bermula daripada keluarga. Keluarga yang terdidik dengan iman dan takwa akan dapat mengelakkan api neraka.
Tokoh pendidikan, Khursid Akhmad menyatakan, jatuh bangunnya sesuatu umat bergantung pada jatuh bangunnya pendidikan kerana jalan utama bagi persiapan masa hadapan adalah pendidikan.
Pemimpin dalam keluarga, iaitu ibu bapa adalah pendidik yang mesti menjaga masa depan keluarga iaitu anak-anak daripada terjebak ke lembah kemaksiatan yang boleh mencampakkan mereka ke neraka.
Sikap tegas dan peranan penting ibu bapa dalam menangani persoalan pendidikan anak-anak yang bakal mewarisi generasi hari ini dan generasi akan datang. Ini mesti dilakukan dalam hal berkaitan akhlak dan adab anak-anak.
Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci). Ibu bapa berperanan membentuk potensi diri mereka ke arah kebaikan. Pendidikan mestilah menjurus kepada pendidikan tauhid, ibadah, keimanan, akal, akhlak, budi pekerti, jasmani, rohani, keterampilan dan kemasyarakatan.
Ibu bapa mestilah mendidik anak-anak dengan bersikap adil, memahami jiwa anak-anak, tegas dalam hal berkaitan ibadah dan akhlak, kasih sayang, berdisiplin dan persamaan. Anak-anak mestilah dididik dengan keimanan yang kukuh dan mantap bagi menghadapi apa juga cabaran dalam hidup.
Imam Syafie pernah berwasiat iaitu benteng iman dengan lima kekuatan iaitu: “Iman mempunyai bentengnya bagi menghalang segala serangan yang cuba merobohkannya. Oleh itu, bagi menguatkan benteng iman, perlulah dibaja keimanan dengan lima perkara iaitu yakin, ikhlas, mengerjakan amalan sunat, istiqamah beramal, bertatasusila ataupun berdisiplin dalam mengerjakan ibadah.”
http://pewarisanmd.blogspot.com
Photo
Wait while more posts are being loaded